Headlines News :
Home » » Pendakwah perlu berhikmah

Pendakwah perlu berhikmah

Written By Unknown on Wednesday, 14 January 2015 | 00:07

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
 
DAKWAH adalah menyampaikan risalah kebenaran kepada umat manusia berdasarkan apa yang diajarkan oleh Allah SWT melalui pesuruhnya Nabi Muhammad s.a.w.. Agungnya kerja dakwah sehingga Allah mengungkapkan dalam al-Quran bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata “Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)." (Fussilat, 41:33)

Islam sampai kepada kita hari ini selepas lebih 1,400 tahun kewafatan Rasulullah s.a.w. adalah melalui kerja dakwah yang dibuat oleh para pendakwah terdahulu. Baginda Rasul adalah pendakwah yang terbaik.

Selepas melalui tahun kesedihan, Rasulullah s.a.w. bersama Zaid bin Harisah telah pergi ke Taif untuk berdakwah. Amat mendukacitakan apabila dakwah Baginda saw di Taif bukan saja tidak diterima bahkan dihalau keluar bersama dengan Zaid. Pemuka Taif menyuruh orang ramai berkumpul  dan berbaris di kiri dan kanan jalan yang dilalui baginda sambil mencaci maki dengan perkataan keji.  Kanak-kanak dipergunakan untuk melemparkan batu kepada dua pendakwah agung tersebut.

Akibat lemparan itu, kedua-dua kaki Nabi s.a.w. luka berdarah manakala Zaid cedera di kepala. Kecederaan yang dialami oleh kedua-dua pendakwah agung itu tidak menyebabkan penduduk Taif jadi simpati sebaliknya kebencian mereka bertambah. Rasulullah s.a.w. terpaksa merangkak kerana menahan  kesakitan. Melihat baginda berjalan dengan terengsot-engsot dan merangkak, mereka mengejak, mentertwakan dan mencaci maki pula kekasih Allah itu.

Kisah yang masyhur dalam catatan sirah adalah ketika mereka singgah berehat di tempat bernama Qarnulmanazil. Malaikat menawarkan khidmat dengan berkata, “Wahai Muhammad! Hal itu terserah padamu. Jika engkau menghendaki aku meratakan mereka (penduduk Taif) dengan Al Akhasyabain (dua bukit besar),  maka aku lakukan.”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Tidak, sesungguhnya aku berharap mudah-mudahan Allah mengeluarkan dari tulang sulbi keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah semata dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.” Kebaikan yang ditunjukkan oleh baginda itu adalah betul. Apa guna dakwah jika kita mencari jalan pintas dengan mendoakan kehancuran terhadap sasaran dakwah. Rasulullah s.a.w. tidak buat begitu.

Rasulullah s.a.w. juga mengajarkan bahawa menggunakan pendekatan berbeza terhadap sasaran yang berbeza bersesuaian dengan tahap pemikiran atau situasi mereka. Mungkin ada yang tampak tegas dan ada yang lembut.

Daripada Abdullah bin Amr, beliau berkata: "Suatu hari kami berada di sisi Nabi s.a.w., lalu datang seorang pemuda dan bertanya: 'Wahai Rasulallah! Saya mencium (isteri) sedangkan saya berpuasa.' Jawab baginda: “Tidak boleh.” Datang pula seorang tua bertanya: “Saya mencium (isteri) sedangkan saya berpuasa.” Jawab baginda: “Boleh.” Kami pun memandang antara satu sama lain. Sabda Rasulallah s.a.w., “Aku tahu mengapa kamu memandang antara satu sama lain. Sesungguhnya orang tua itu dapat mengawal dirinya.” (Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani)

Begitu juga dalam beberapa hadis yang lain. Beberapa orang sahabat bertanya mengenai sesuatu perkara yang sama, tetapi jawapan yang diberikan oleh Rasulallah s.a.w. adalah berbeza. Semuanya adalah merujuk kepada kesan dan keperluan seseorang sahabat tersebut.

Demikian dalam berdakwah juga perlu berhikmah. Jangan berkeras tanpa penghujung sehingga menakutkan sasaran dakwah atau sehingga mereka tidak nampak akhlak dan kemuliaan Islam.

Firmah Allah SWT bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah serta petunjuk.” (an-Nahl: 125)

Dalam PAS cabaran dakwah besar kerana perjuangannya menyeluruh, tidak tertumpu pada aspek ibadah asas seperti solat, puasa dan zakat semata-mata. PAS memikirkan peng-Islaman terhadap sebuah negara. Maka kerangka dakwah tentulah lebih besar. Ketabahan dan kesabaran pun kena besar.

Melaksanakan hudud adalah perkara besar. Memberi kefahaman terhadap umat manusia berhubung hudud adalah antara peranan dakwah yang besar. Cabarannya, bukan setakat orang yang mengaku Islam tidak faham tetapi bukan Muslim yang berstatus rakan kerjasama pun menentangnya secara terbuka. 

Di sini peranan dakwah mestilah lebih realistik. Dakwah yang berhikmah patut main peranan sewaktu ada pihak keliru. Jangan hadapi pihak yang keliru, tak faham dan menolak hukum Allah secara terbuka itu dengan bebal dan konfrontasi yang serupa.
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat