Headlines News :
Home » » Kelantan istiqamah realisasi Kanun Jenayah Syariah 2015

Kelantan istiqamah realisasi Kanun Jenayah Syariah 2015

Written By Unknown on Wednesday, 14 January 2015 | 00:15

Oleh DR WAN NIK WAN YUSSOF

KEKUATAN istiqamah Menteri Besar Kelantan,  Ustaz Dato’ Ahmad Yakob tidak pernah luntur demi meneruskan mandat umat Islam yang setia untuk melihat Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah. 

Meskipun Kelantan sekarang sedang berdepan dengan kesusahan bencana banjir yang terburuk dalam tempoh 10 tahun, Ustaz Ahmad tetap setia dengan janji untuk meneruskan persiapan bagi merintis laluan ke arah mengabsahkan Kanun jenayah Syariah II (1993) terus menuju destinasi. 

Tahun 2015 adalah impian musim yang ditunggu-tunggu bagi undang-undang syariah tersebut mendapat kelulusan Dewan Negeri dan Dewan Parlimen. Kemudiannya kembali sebagai sistem pengadilan Islam berteraskan al-Quran dan As-Sunnah. Atas impian ini, Ustaz Ahmad telah menegaskan sekali lagi, “pelaksanaan kanuna jenayah Syariah II merupakan tuntutan Allah dan ia lebih penting “ (SH, 24 Disember 2014:2)

Berkongsi mandat umat Islam

Sesungguhnya apa yang sedang diusahakan oleh pasukan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad sekarang adalah kesinambungan daripada usaha yang telah dicetuskan daripada mandat  umat Islam (rakyat) di Kelantan sejak 1990 lagi. Sebagaimana termaktub di dalam tawaran PAS ketika mula mentadbir Kelantan buat julung kalinya pada tahun 1990 telah dinukilkan di dalam Program PAS Kelantan. Ini terdapat dalam para 2.3 di bawah tawaran politik, Program PAS Kelantan 1990 itu menyebutkan, “meyakinkan rakyat bahawa perjuangan dalam politik adalah suatu tuntutan ke atas umat Islam demi mengembalikan kekuasaan berasaskan al-Quran dan As-Sunnah.”

Realiti tersebut telah diperjuangkan oleh PAS secara berterusan dalam setiap kali kempen pilihan raya di Kelantan. PAS di Kelantan secara tegas sedia berkongsi dengan mandat umat Islam, sehinggalah PAS turut menang besar (atas amalan demokrasi) pada pilihan raya 2013 lalu. Ketika itu tawaran politik yang sama gayanya (sejak 1990) turut dinyatakan di dalam Program PAS Kelantan 2013. Buktinya dalam  para 1 di bawah tajuk Kenapa Pilih PAS adalah ditegaskan, “sesungguhnya PAS adalah sebuah parti politik yang memperjuangkan dasar politik dan pentadbiran berteraskan Islam.”  Penegasan ini turut dibuktikan dalam para 1 di bawah tajuk Jasa PAS untuk rakyat Kelantan iaitu untuk “memartabatkan Islam dalam pentadbiran kerajaan.” 

Justeru selama 22 tahun (sehingga 2012) rakyat Kelantan sendiri telah merasai sendiri jasa PAS yang mentadbir Kelantan, khususnya sebagaimana dinyatakan dalam para 12 di bawah tajuk 22 tahun mencapai 22 perubahan, iaitu “mempertingkatkan peraturan berteraskan syariat di peringkat Majlis Daerah dan Jajahan.”  Kenyataan ini telah diterjemahkan dalam para 1 di bawah tawaran pertama, melaksanakan keadilan untuk semua rakyat, maka kerajaan PAS di Kelantan “komited dengan program Membangun Bersama Islam  demi keberkatan dan kemakmuran rakyat Kelantan. 

Justeru latar belakang sejarah danpada senario penegasan pentadbiran Islam inilah, maka Ustaz Ahmad sedang memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk memastikan syarat pentadbiran Membangun Bersama Islam dilengkapi dengan sistem perundangan Islam. Pendekatan terbaik bagi Menteri Besar sekarang adalah berusaha merealisasikan Kanun Jenayah Syariah II yang tertangguh selama 20 tahun lalu dapat berperanan dan dipraktikkan demi ke arah mengawal akhlak dan cara hidup rakyat agar terjamin selamat, aman dan sejahtera. 

Inilah resam pengabsahan politik yang rakyat Kelantan inginkan dan Ustaz Ahmad sedang menunaikan keinginan rakyatnya. Ia adalah keyakinan Kepimpinan Ulama di Kelantan hari ini (bahawa melaksanakan hukum Allah) pastinya mendapat pertolongan (pencegahan) daripada Allah SWT (Surah Al-Maidah ayat 38), “suatu hukuman pencegah daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Persidangan khas

Apapun halangan yang dihadapi, komitmen Ustaz Ahmad selaku penerus mandat dan tekad bekas Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap tidak berganjak. Beliau sedia melakukan usaha pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah mara ke hadapan. Pada 29 Disember nanti sekali lagi draf enakmen yang dikemaskini akan di bawa untuk perbahasan pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan. 

Sebelum ini, pelbagai gerak kerja teknikal telah dibuat dalam usaha mempersiapkan suatu kandungan perundangan jenayah syariah yang sempurna dan menyeluruh. Pihak kerajaan negeri telah menguruskan melalui jawatankuasa teknikal yang dianggotai pakar-pakar perundangan Islam. Kemudian jawatankuasa teknikal tersebut turut berkongsi hasrat dan fakta dengan jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan di peringkat persekutuan. Hasilnya suatu penyelarasan gerak kerja telah dibuat dan persetujuan turut dicapai bagi membolehkan halangan perundangan dan perlembagaan dapat diatasi. 

Sementara itu Kerajaan Negeri Kelantan juga telah mengadakan siri-siri muzakarah secara mendalam disertai oleh pakar perundangan dan pengamal undang-undang sivil dan syarie. Termasuk juga ahli pentadbiran, hakim dan perunding perundangan Islam. Dilaporkan lebih 50 orang pakar telah terlibat dan yang terakhir adalah muzakarah aspek kaedah-kaedah hukuman menurut syariah. Hasilnya suatu kaedah penghakiman yang lengkap telah menjadi dokumen perundangan. Kesemuanya menggambarkan komitmen dan tekad melaksanakan amanah Allah di atas mandat umat Islam.

Demikian pula, berkat komitmen tersebut pada 1 Disember lalu draf kemaskini Kanun Jenayah Syariah tersebut telah mendapat kelulusan pihak Jemaah Ulama yang dipengerusikan oleh Mufti Kelantan. Ia diikuti pula, pada 7 Disember lalu pihak mesyuarat Majlis Agama Islam Kelantan yang dipengerusikan oleh Tengku Mahkota Kelantan pun turut meluluskan draf kemaskini tersebut. Maka sebaiknya laluan bagi pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan akan menuju langkah-langkah ke seterusnya. 

Antaranya akan menyusul ialah persetujuan Dewan Parlimen bagi meminda Akta 355 Acara Mahkamah Syariah bagi merungkai had hukuman kesalahan jenayah syariah bukan lagi berasaskan tiga tahun, lima ribu dan enam rotan. Kemudian akan menyusul sama ialah kelulusan bagi membenarkan Negeri Kelantan menguatkuasakan perundangan jenayah syariah di bawah Perkara 76A(1) iaitu kebenaran khas bagi negeri, bersesuaian dengan urusan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Begitu juga, bagi memastikan proses perundangan dan pelaksanaan undang-undang syariah di Kelantan ini mendapat kefahaman seluruh umat Islam, maka beberapa sesi taklimat peringkat negeri  turut diatur, Terdekat ialah pada 26 Disember nanti satu taklimat terbuka akan dibuat di Pusat tarbiayh Islamiah di Pengkalan Chepa. 

Begitu pula di peringkat kepimpinan parti dan pelbagai lapisan masyarakat pihak Kerajaan Negeri sudah merangka satu persiapan sesi penjelasan. Apa yang penting, penantian merealisasikan hukum Allah di bumi ini sedia diuruskan secara beramanah oleh khalifah-Nya, iaitu mana-mana penguasa yang hanya patuh dan tunduk kepada perintah-Nya jua.

Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat