Oleh Mohamed Hanipa Maidin
Berjuang atas parti Islam bukan suatu yang mudah kerana pendokongnya membawa mesej Islam
ke dalam masyarakat. Apabila PAS membawa mesej Islam tidak dapat
tidak rakyat akan mengaitkan segala tindak tanduknya dengan Islam.
Jika ada tindak tanduk PAS yang dilihat tidak selari dengan Islam maka
bukan saja imej PAS yang akan tercalar imej Islam juga turut sama
tercalar. Di sinilah beban besar yang ditanggung PAS.
Muktamar
PAS baru berlalu. Muktamar kali ini mengukir banyak sejarah - yang
manis dan yang pahit. Sejarah manisnya buat kali pertama PAS berjaya
mengadakan muktamarnya di Johor. Semua tahu betapa sukar bagi PAS untuk
melebarkan sayapnya di Johor - negeri yang sinonim dengan Umno.
Namun kecemerlangan muktamar PAS malangnya diselit dengan beberapa
adegan yang sedikit sebanyak mencacatkan sedikit sebanyak jati diri dan
imej PAS. Adegan beberapa perwakilan Pemuda meninggalkan dewan semasa
ucapan perasmian timbalan presiden PAS dalam muktamar Pemuda PAS dan
adegan dalam muktamar penuh PAS khususnya adegan perwakilan Wilayah
Persekutuan membaca doa yang penuh dengan kata-kata yang tidak
mencerminkan doa dan adegan mengeboo para pemerhati menimbulkan tanda
tanya pelbagai pihak.
Apa sudah jadi pada PAS? Di mana akhlak orang PAS yang selama ini dicemburui rakan dan musuh musuh politik PAS? Apa pun muktamar PAS masih tetap tegas berpegang kepada keputusan mengukuhkan tahaluf PAS bersama Pakatan Rakyat (PR).
PAS adalah parti politik yang terlibat dalam sistem demokrasi.
Penyertaan dalam politik adalah suatu keperluan bagi mendapatkan kuasa
di mana kuasa itu pula perlu bagi melaksanakan agenda agenda Islam dalam
aspek pentadbiran dan kenegaraan.
Dalam sistem demokrasi
kuasa disandarkan kepada rakyat maka bagi mendapatkan kuasa, parti
politik termasuk PAS tidak boleh berpisah dari rakyat. Dr Ali Shariati
menggambarkan kalimah al-nas di dalam Al-Quran dengan istilah rakyat
dan para Nabi dan Rasul adalah memimpin al-nas.
Rakyat Malaysia
adalah pelbagai kaum, bangsa dan agama. Maka PAS tidak ada pilihan
selain menerima hakikat realiti komposisi rakyat Malaysia yang
ditakdirkan begitu. Atas dasar itu sebagai parti politik PAS perlu
mendekati seluruh rakyat Malaysia bagi mendapatkan sokongan jika ingin
berkuasa di negara ini.
Sejarah PAS menunjukkan apabila ia
bergerak bersendirian PAS hanya mampu menawan negeri di pantai timur
yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Maka tidak dapat
tidak bagi mendapat sokongan orang bukan Islam dan bukan Melayu,
bergerak secara solo, buat masa ini, bukan suatu opsyen bagi PAS.
PAS tidak boleh elak selain mengadakan kerjasama dan kesepakatan
politik dengan parti politik yang mempunyai agenda yang substantifnya
sama dengan PAS meskipun berlainan ideologi.
Melalui PR banyak
manfaat yang PAS perolehi jika PAS bijak mengambil peluang manfaat itu.
PAS kini boleh memasuki ruang dan wilayah yang selama ini tidak boleh
ditembusi atau sukar dimasuki. Ini, bagi saya satu imbuhan kepada PAS
apabila ia bersama PR.
Politik tahaluf berpremiskan kesediaan
menerima kepelbagaian bagi berhadapan musuh yang sama. Di situlah
signifikannya hilfu al fudul iaitu kesepakatan atau tahaluf antara
orang jahiliah bagi menentang musuh mereka yang sama yang dilakukan di
rumah Abdullah ibn Judan, pemimpin bani taym yang mana Rasulullah
(ketika itu baginda masih belum menjadi Rasul ) turut hadir di rumah
tersebut dan menyaksikan hilfu al fudul tersebut.
Apa yang
menarik Rasulullah menyatakan jika Baginda masih diminta untuk
mengambil bahagian dalam pakatan seperti itu ketika waktu ini (waktu
Baginda sudah pun menjadi Rasul), Baginda merasa gembira untuk
menerimanya. Hatta Rasulullah menyanjungi pakatan tersebut yang Baginda
sifatkan sebagai suatu yang amat cemerlang sehingga Baginda tidak akan
sama sekali menukar ganti Pakatan tersebut sekalipun diminta ditukar
ganti dengan sekumpulan unta merah yang tinggi nilainya.
Dalam
buku kupasan mengenai seerah oleh Dr Tariq Ramadan dalam bukunya
bertajuk "In the footsteps of the Prophet..lessons from the life of
Muhammad", penulis menulis antara lain:
"Di sini Rasulullah
secara jelas mengakui keesahan prinsip keadilan dan prinsip membela
golongan yang tertindas yang dipersetujui satu pakatan sebelum era
Islam. Keduanya Rasulullah juga mengakui keesahan berpegang kepada
prinsip keadilan dan membela golongan yang dizalimi tanpa mengira
prinsip itu datang dari dalam kerangka Islam itu sendiri atau di luar
kerangka Islam."
Di sini juga menunjukkan mesej Islam bukanlah
satu sistem nilai yang tertutup (a closed value system) yang sepanjang
masa bercanggah atau berkonflik dengan sistem nilai yang lain.
Kepelbagaian bukan suatu yang mudah untuk diuruskan melainkan ada satu
sikap toleransi dan tahap kesabaran yang tinggi. Tanpa toleransi dan
kesabaran tahaluf sukar untuk dipertahankan. Toleransi dan kesabaran
akan mudah dicapai jika PAS memahami Islam tidak tertegak atas retorik
semata-mata sebaliknya ia dimanifestasi melalui satu kepercayaan yang
jitu dan kental ke atas kehebatan Islam dan pembawa mesej Islam itu
sendiri.
Tahaluf juga bagi saya memerlukan satu persiapan
mental dan jiwa dari semua lapisan dalam Pas menyesuaikan diri dengan
kaedah dan wasilah baru dalam merealisasikan hasrat dan cita cita
Pas.Kegagalan menyesuaikan diri dalam politik tahaluf akan mengancam
kestabilan tahaluf itu sendiri.
Mereka yang selesa berjuang
bersendirian dan enggan menyesuaikan diri mereka dengan politik tahaluf
akan mudah mengalah dan kecewa. Begitu juga mereka yang tidak melihat
Islam dalam bentuknya yang holistik dan universal khususnya Islam
sebagai rahmah kepada alam sebaliknya lebih selesa memilih untuk
menyampaikan Islam dalam bentuk hukum akan terasa tahaluf melambatkan
proses untuk "memenangkan Islam".
Apabila PAS menggagaskan idea
Negara Kebajikan dan PAS for all, bagi, saya, ia adalah satu bentuk
penyesuaian diri dan kebijaksanaan PAS bagi menjayakan proses tahaluf
siyasi ini. Kedua-dua idea ini berjaya membantu PAS mendekati segmen
rakyat yang dahulunya terlalu prejudis dengan PAS!
Selagi PAS
bergerak mengguna wasilah demokrasi dan muwajahah silmiyyah maka PAS
mesti sedar ia terlibat dalam pertembungan idea dan pemikiran. Idea dan
pemikiran tidak boleh dipaksakan ke atas sesiapa. Idea yang dipaksa
untuk diterima tidak akan mampu bertahan lama. Idea dan pemikiran
perlukan pujukan dan rayuan dengan menggunakan bahasa dan hujah yang
terang dan nyata, rasional, logikal dan tidak bersifat judgmental,
munasabah dan tidak memaksa, lembut tanpa apologetik.
Di
sinilah perlunya para pimpinan tertinggi PAS mendidik semua lapisan
dalam PAS supaya membudayakan dialog atau hiwar dan memilih pendekatan
inklusif dan bukannya ekslusif dalam berhadapan masyarakat yang rencam
tabiat dan kelakuannya. Tanpa kesedaran ini akan berlakunya kontradiksi
berpanjangan antara pendirian PAS dan tindak tanduknya. Pendiriannya
bertahaluf tapi tindak tanduknya menghancurkan tahaluf.
Jika tahaluf gagal jangan salahkan orang lain salahkan diri kita sendiri.
Home »
Penulis Tamu
» Segarkan terus politik tahaluf
Segarkan terus politik tahaluf
Written By Editor Bebas on Saturday, 4 October 2014 | 01:37
Labels:
Penulis Tamu
Post a Comment