TATKALA kita memuji langkah dan tindakan segera serta tegas pihak kerajaan dalam menangani
isu soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bocor, apa yang
paling penting sekarang adalah langkah yang perlu dilaksanakan untuk
memulihkan kembali tahap keyakinan dan kepercayaan ibu bapa, anak-anak
dan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara kita.
Kementerian
Pendidikan telah bertindak menggantung tugas dua pegawai utama Lembaga
Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam tempoh siasatan terhadap kes ini.
Selanjutnya, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi pula dilantik
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan
Awam Kendalian LPM.
Sementara itu, pihak Polis Diraja Malaysia
(PDRM) pula menubuhkan pasukan siasatan khas yang diselaraskan oleh
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisiner
Gan Kong Meng di mana sehingga kini beberapa individu termasuk seorang
Guru Besar ditahan reman untuk membantu menyelesaikan kes ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut membantu dan sedang
bekerjasama dengan pihak polis mengikut kepakaran masing-masing. Respon
dan tindak balas pihak kerajaan memang cepat dan dilihat berkesan
namun apa yang pasti detik hitam dalam peperiksaan UPSR ini telahpun
berlaku dan ia sudah tidak boleh dipadam mahupun dipendam lagi.
Hakikatnya,
kejadian ini sedikit sebanyak meragut tahap kepercayaan dan keyakinan
ibu bapa terhadap sistem kawalan dan pengendalian peperiksaan awam di
negara kita. Ini kerana isu kebocoran soalan peperiksaan di negara kita
bukanlah suatu perkara yang baharu. Boleh dikatakan hampir setiap
tahun isu kebocoran soalan peperiksaan awam ini kedengaran cuma jarang
sekali khabar angin itu disahkan oleh pihak berkuasa hingga terpaksa
membatalkan kertas peperiksaan tertentu sama seperti dalam kes
peperiksaan UPSR tahun ini.
Justeru kejadian terbaru ini yang
melibatkan peperiksaan UPSR jelas mengeruhkan lagi keadaan kerana
masyarakat tertanya-tanya kenapa ada pihak yang sanggup untuk
membocorkan soalan ini yang hanya melibatkan anak-anak kita di tahun
enam. Perlu diingat ini hanyalah UPSR dan bukannya Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang
jauh lebih signifikan dan bakal menentukan masa depan anak-anak kita
sama ada dapat masuk ke universiti ataupun tidak.
Maka pelbagai
andaian, teori dan persoalan mula timbul. Apa yang pasti rata-rata
semua pihak sedang menuding jari ke arah orang lain atau dalam lain
perkataan sedang mencari 'kambing hitam' dalam kes ini. Memang betul
ini adalah satu perbuatan yang cukup tidak amanah dan tidak
berintegriti. Kepercayaan yang diberi diragut dalam sekelip mata.
Kita
juga yakin dan percaya dalangnya mesti terdiri daripada pihak yang
telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan soalan-soalan ini di
pelbagai peringkat baik di peringkat membuat soalan, mencetak mahupun
mengedar. Memang tidak wajar untuk membuat spekulasi, tuduhan mahupun
fitnah namun itulah hakikatnya. Apapun kita tunggu hasil siasatan pihak
berkuasa di mana kita berharap pihak yang meragut kepercayaan ibu bapa
dan menjejaskan moral dan emosi 473,175 calon UPSR ini diberkas dan
dikenakan hukuman yang setimpal.
Sementara itu, apa yang perlu
pihak kerajaan terutamanya kementerian dan LPM perlu fokus dan utamakan
sekarang ialah memantapkan semula segala proses dan prosedur yang
terlibat terutamanya Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan dan
pengendalian peperiksaan awam yang digunapakai oleh LPM selama ini.
Walaupun
kita dimaklumkan SOP ini sentiasa dikemaskini ternyata kejadian
seperti ini membuktikan masih ada kekurangan yang boleh diperbaiki.
Dalam hal ini penulis percaya jawatankuasa yang diketuai oleh Tun Zaki
ini mampu membantu pihak kerajaan mengatasi kemelut ini untuk jangka
masa panjang dengan mengemukakan cadangan dan idea yang bernas dalam
tempoh masa tiga bulan yang telah ditetapkan.
Hakikatnya, ibu
bapa semua calon UPSR khususnya dan masyarakat umumnya cukup marah
dengan kejadian ini. Oleh itu, kerajaan perlu memulihkan kembali
keyakinan ibu bapa dan masyarakat supaya imej dan nama baik kerajaan
tidak terjejas. Hal ini penting kerana sudah ada pihak yang mula
menangguk di air yang keruh apabila meletakkan semua kesalahan ini di
bahu pihak kerajaan semata-mata. Kita tidak boleh membenarkan institusi
kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan LPM dijadikan kambing
hitam akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.
Justeru
di samping kita berharap agar ibu bapa dan semua calon UPSR yang
terlibat bersabar dan tenang menghadapi situasi ini, kita juga berharap
agar pihak kerajaan dapat memulihkan keyakinan ibu bapa dan
membuktikan kepada masyarakat bahawa sistem pengurusan dan pengendalian
peperiksaan awam di negara kita masih selamat, telus dan boleh
dipercayai.
Semoga semua pihak dapat mengambil iktibar dari kejadian seperti ini supaya perkara ini tidak berulang pada masa depan.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.
Memulihkan keyakinan ibu bapa dan masyarakat
Written By Editor Bebas on Friday, 3 October 2014 | 23:35
Labels:
Artikel
Post a Comment