Oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
ISLAM telah menetapkan pengurusan ekonomi yang lebih tersusun bermatlamat untuk
memastikan
sumber hasil alam dapat dikongsi oleh semua manusia dengan
sejahtera. Pengurusan sumber ekonomi mesti berdasarkan konsep ketelusan
dan amanah yang tinggi bagi memastikan aturan ekonomi dapat berlaku
dengan baik
Ekonomi negara kita hari ini berada dalam
keadaan simpang siur. Bermula dari sumber pendapatan negara hasil dari
hutang dan cukai yang menekan kehidupan rakyat sehinggalah kepada
ketirisan, pembaziran dan ketidakefisyenan pengurusan perbelanjaan
negara. Daripada kebobrokan ideologi sistem kapitalisma sehingga
kebobrokan pengurusan ekonomi. Segala-galanya rosak dan terus merosak!
Sistem
ekonomi ciptaan manusia ini mengikis sifat kemanusiaan. Ekonomi hanya
berkiblatkan material. Keuntungan maksimum adalah matlamat utama.
Akhirnya ia merosakkan manusia yang berkejar ke arahnya dan mematikan
perasaan kasih dan sayang terutama kepada golongan fakir dan miskin.
Inilah
yang sedang membarah di dalam negara kita hari ini. Kenaikan harga
minyak petrol RON95 dan Diesel yang diumumkan kerajaan semalam
membuktikan mudahnya sifat rahmat sesama manusia terhakis daripada
kerajaan kita. Ini bukanlah pertama kali kerajaan mengumumkan
rasionalisasi subsidi bahan api ini yang memberikan kesan berantai
kepada barangan dan perkhidmatan yang lain secara tidak langsung.
Hutang
kerajaan hari ini berada pada paras yang bahaya melebihi separuh dari
saiz ekonomi negara yang ditunjukkan dengan nilai KDNK negara. Kerajaan
dilihat begitu terdesak untuk mendapatkan sumber pendapatan yang lebih
bagi menampung perbelanjaan mengurus negara yang bocor dan sudah tidak
mampu ditampung.
Dalam keadaan begini, kerajaan sanggup menjadikan rakyat mangsa keadaan.
Ketika
kos sara hidup yang membengkak, pengangguran yang meningkat, industri
perumahan yang terus mengembung, kebanjiran pekerja asing, kurangnya
tenaga kerja mahir tempatan, kerajaan sewenangnya meningkatkan lagi
masalah ekonomi kepada rakyat. Pengurusan ekonomi negara semakin
bertambah kusut.
Pengaruh sikap dalam pengurusan ekonomi negara
juga tidak diambil perhatian, tetapi apabila diselidiki kemelut ekonomi
negara yang berlaku hari ini, rata-rata akan meletakkan punca utama
daripada masalah yang berlaku adalah disebabkan masalah sikap termasuk
pembaziran, tiris dan sebagainya.
Ekonomi Islam tidak hanya
membincangkan soal angka dan nombor, tidak hanya pada bentuk kejayaan
material tetapi melengkapi soal kepercayaan kepada pembalasan di hari
akhirat dan keutamaan kepada kebajikan sosial masyarakat. Perkara ini
bukanlah perbincangan utama dalam sistem ekonomi yang diamalkan hari
ini. Malah, ekonomi hari ini tidak meletakkan keutamaan kepada kebajikan
masyarakat miskin dan fakir sepertimana prinsip yang ditegakkan oleh
Islam. Kesannya, polisi kerajaan terhadap subsidi dan sebagainya tidak
pernah melihat kepada kebajikan golongan tersebut.
Segala-galanya semakin merosak dan apabila sampai masanya, kerosakan itu akan sampai kepada kemuncaknya.
Adakah kita hanya akan menunggu sehingga kerosakan itu menjadi terlalu sukar untuk dipulihkan? Sudah terhantuk baru terngadah.
Islam datang untuk membina, bukan hanya untuk dipanggil saat negara berhadapan kemelut nazak ekonomi.
Negara
kita memiliki kepakaran dan kesarjanaan tinggi dalam pengurusan
ekonomi Islam. Kerajaan mestilah memiliki keinginan dan azam yang
tinggi untuk berubah. Atau, jika tidak, kerajaan berhadapan kemarahan
rakyat dan berakhir dengan kejatuhan yang mereka sendiri ciptakan. Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Mas.
Home »
Penulis Tamu
» Kenaikan harga minyak: Meruntuh nilai manusiawi
Kenaikan harga minyak: Meruntuh nilai manusiawi
Written By Editor Bebas on Saturday, 4 October 2014 | 00:51
Labels:
Penulis Tamu
Post a Comment