Oleh ZULKIFLI YAHAYA
TAHALUF Siasi PAS bersama dengan PKR dan DAP adalah keputusan rasmi PAS pusat. Ia kaji
dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak, berdasarkan enam syarat.
Timbalan Mursyidul Am Dato’ Dr. Harun menjelaskan dalam Muktamar
Tahunan ke 60 baru-baru ini mengenai syarat yang ke enam tersebut;
iaitu tahaluf siasi boleh diterus atau dibatalkan oleh Majlis Syura.
Majlis Syura jadi penyimpan mohor besar berhubung tahaluf siasi.
Sehingga ke saat ini Majlis Syura tidak pernah membuat keputusan
membatalkan tahaluf siasi, bermakna ia masih sah dan berjalan.
Dalam
ucapan dasar dan ucapan penangguhan Muktamar baru-baru ini Presiden
PAS menegaskan bahawa tahaluf siasi akan diteruskan. Sekalipun beliau
membuat sedikit teguran perihal tahaluf siasi kepada rakan kerjasama,
namun tiada sepatahpun keluar dari mulutnya untuk mengkaji semula
tahalus siasi. Jauh sekali dari membatalkannya.
Setiausaha Agung
PAS, Dato’ Mustafa Ali menjelaskan bahawa mengikut perlembagaan parti,
keputusan tertinggi PAS ialah yang dibuat oleh Muktamar. Muktamar
beberapa tahun lalu telah meluluskan usul memperkasakan Pakatan Rakyat.
Perwakilan
dan jawatankuasa kerja PAS Pusat yang berucap di Muktamar lalu juga,
ramai yang bercakap untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Ketua Pemuda
dan Ketua Muslimat yang memiliki mandat yang besar dalam parti tidak
terkecuali menegaskan keperluan memperkasakan Pakatan Rakyat. Dewan
Ulamak, dalam Muktamar mempertegaskan kuasa besar Presiden, sehingga
menurut ijtihad mereka berhak untuk tidak mengikut keputusan mesyuarat.
Bermakna Dewan Ulamak bersama Presiden berhasrat meneruskan tahaluf
siasi dalam Pakatan Rakyat.
Ertinya Muktamar, Majlis Syura
Ulamak, Presiden PAS, Dewan-dewan, kepimpinan Pusat serta ahli-ahli
(melalui mandat yang diberi kepada perwakilan) bertekad meneruskan
tahalus siasi dalam Pakatan Rakyat. Itu keputusan paling mantap bagi PAS
kerana telah dibaiahkan oleh semua entiti yang menjadi pemegang amanah
di aras tertinggi parti!
Oleh sebab ia menjadi keputusan
jamaah, maka tahaluf siasi tidak boleh diremehkan oleh sesiapapun dalam
parti. Tahaluf siasi, meskipun dengan pihak sekular atau golongan yang
mensyirikan Allah, namun perlu terikat dengan adab-adabnya. Merungkai
adab dan perjanjian bermakna menyerlahkan kecacatan imej Islam yang
diperjuangkan oleh PAS.
Dalam konteks politik di Malaysia,
tahaluf Pakatan Rakyat bertujuan untuk menghadapi musuh bersama dalam
pilihan raya iaitu BN yang telah melakukan pelbagai onar sepanjang lebih
separuh abad memerintah. Catatan kebejatan dan kemungkaran mereka
terlalu panjang untuk disenaraikan di sini. Faedah dari tahaluf terhadap
kepentingan Islam juga panjang senarainya apabila PAS pernah berkuasa
di Terengganu dan Kedah, terus berkuasa di Kelantan dan berkongsi kuasa
di Selangor. Jangan hendak menafikan.
Tahaluf siasi membawa PAS
menyertai pilihan raya melalui imej Pakatan Rakyat. Dengan itu imej
Pakatan wajib dijaga, kerana prinsip demokrasi parti yang berjaya
mempamerkan imej terbaik akan disokong.
Maka dengan itu jika
mana-mana individu dari parti rakan Pakatan menyerang parti Pakatan yang
lain secara terbuka, maka ia adalah perbuatan tidak beradab dan
mengkhianati tahaluf siasi. Jika ia dilakukan oleh individu dari parti
sekular pragmatis atau sekular demokratik, ia tetap perbuatan khianat
tetapi ‘mujur’ kerana mereka mungkin tidak memahami disiplin tahaluf
mengikut Islam, tetapi sangat malang kalau yang tidak menjaga adab
tahaluf itu adalah dari parti Islam.
Mutakhir ini, kelihatannya
tokoh-tokoh tertentu sangat ghairah untuk mengeluarkan kenyataan yang
mengeruhkan hubungan tahaluf siasi. Sekali mereka menghentam rakan
Pakatan yang lain, ia mendapat liputan muka hadapan Utusan Malaysia,
akhbar yang menjadi lidah rasmi Umno – musuh siasah PAS sejak berzaman.
Almarhum Ustaz Fadzil Noor pernah berkata, apabila musuh memuji ucapan
atau tindakan kita (sehingga memberi liputan istimewa dalam media
mereka) maka mesti ada sesuatu yang tidak kena.
Memang tidak kena apabila pemimpin tertentu dari parti dalam Pakatan menyerang parti lain secara terbuka.
Pertama,
ia menggambarkan kepada khalayak umum bahawa Pakatan Rakyat sedang
berpecah. Rakyat akan menolak gabungan politik yang tampak berpecah
dalam pilihanraya.
Kedua, ia memudahkan kerja musuh. Umno/BN
tidak perlu mengorek dan mendedahkan kelemahan kerajaan Pakatan kerana
rakan Pakatan yang tolong dedahkan. Jika BN yang dedahkan perihal
keburukan, terdapat kalangan rakyat yang sukar nak percaya kerana yang
bercakap adalah musuh Pakatan. Namun apabila rakan Pakatan yang
mendedahkan, ramai akan percaya sekalipun tidak benar.
Ketiga,
rakyat nampak rakan Pakatan tidak mampu melakukan kerja membetulkan
antara satu sama lain. Jika nak membetulkan rakan sendiri pun tidak
mampu, bagaimana nak betulkan perkara lebih besar dalam negara. Itu
persepsi yang boleh terbina.
Keempat, menampakkan pemimpin
tertentu atau parti tertentu ‘tidak cerdik’. “Kamu berada dalam satu
gabungan, bermesyuaratlah secara tertutup untuk selesaikan masalah
secara musyauwarah, mengapa nak heboh-heboh beritahu seluruh dunia,”
rakyat cerdik akan berkata begitu kepada pemimpin yang tidak menampakkan
kecerdikan.
Kelima, ia boleh pecahbelahkan PAS sendiri. Ada
pihak dalam PAS beriya-iya pertahan tahaluf siasi. Golongan ini tidak
suka rakan Pakatan diserang secara terbuka. Timbullah tuduhan ‘UG’
(kerajaan perpaduan) sekalipun tuduhan itu tidak berasas. Berkata
Saidina Ali, “Jangan salahkan orang menuduh kamu lakukan maksiat, jika
kamu hadir di tempat maksiat.” Demikian realiti kita, jangan asyik
menyalahkan pihak tertentu menuduh UG jika kita (secara tidak langsung)
membantu kerja Umno/BN dengan menyerang terbuka rakan tahaluf.
Keenam,
(mudarat yang paling besar) apabila PAS menyerang terbuka DAP dan PKR,
masyarakat Cina yang sudah sedekad setia dengan Pakatan akan marahkan
PAS. Kalau Cina tak undi PAS, maka parti itu akan hilang hampir semua
kerusi yang dimenangi Pantai Barat dan Pahang. PAS dan Pakatan sukar nak
berkuasa di Kedah dan Selangor, sebab sebahagian besar kerusi
dimenangi dengan bantuan pengundi Cina. Susah juga untuk menghuraikan
pentingnya undi bukan Melayu kepada golongan manusia yang ‘bermakam
tinggi’ beriktiqad bahawa segala-galanya atas kekuasaan Allah, bahkan
syirik menganggap undi bukan Melayu sebagai penentu kemenangan.
Terpaksalah
pula kita menerangkan asas aqidah Ahlussunahwaljamaah yang beriktiqad
bahawa segalanya berlaku atas kekuasaan Allah, tetapi manusia dituntut
berusaha, berikhtiar dan berdoa. Betul Allah yang tumbuhkan padi tapi
tanpa berusaha menanam, melihat saja benih padi untuk tumbuh dan
menghasilkan beras tanpa berbuat sesuatu maka itu aqidah sesat namanya.
Demikianlah
mengharap sokongan bukan Melayu dalam pilihan raya dengan mengambil
sebab musabab yang menjauhkan mereka dari PAS adalah kerja tidak
munasabah. Sedangkan pilihan raya menuntut suara terbanyak untuk
memenanginya. Kecualilah PAS bersepakat menolak pilihan raya, maka tak
perlulah memikirkan soal undi dan sokongan sesiapa pun.
Saya
menyedari, sukar juga untuk menasihatkan ‘kaki serang’ rakan Pakatan.
Antara jawapan popular, “Kenapa nasihat sebelah sini saja, pergilah
nasihat sebelah sana.” “Mereka yang bertindak dulu, takkan kita nak biar
saja…” Dah jadi macam budak-budak! Setiap kali khutbah Jumaah bermula,
seringkali bilal mengingatkan jemaah, berdasarkan pesan Nabi SAW,
“Jangan berkata-kata ketika khatib berkhutbah, walau berkata ‘diam’
sekalipun.” Suruh orang yang bising dalam masjid supaya diam pun bising
juga namanya. Tak payahlah kita nak bantah Hadis Nabi dengan berkata,
“Dia yang mula bising dulu, saya cuma suruh dia diam.”
Tahaluf
siasi adalah keputusan rasmi jamaah. Kena hormati, khususnya pemimpin
yang ‘ada nama’ dalam PAS. Jangan terlebih garpu dari sudu, terlebih
lajak dari laju, terlebih baja dari perdu, terlebih wangi dari gaharu,
terlebih mabuk dari samsu, terlebih haru dari keliru, gatal kurang
terlebih garu. Kena beradab dan bersabarlah dalam jamaah. Jangan gopoh
sangat
Home »
Penulis Tamu
» Jangan remehkan tahaluf siasi!
Jangan remehkan tahaluf siasi!
Written By Editor Bebas on Saturday, 4 October 2014 | 01:41
Labels:
Penulis Tamu
Post a Comment