Oleh Hassan Omar
KETIKA
menjejakkan kaki di kota raya Bangkok, Thailand bersama 20 delegasi
wartawan asing yang menyertai sesi lawatan ke negara itu di bawah
kelolaan Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand, baru-baru ini,
keadaannya sudah jauh berubah berbanding ketika pergolakan politik dari
November 2013 hingga Mei lalu.
Tidak ada lagi puluhan ribu
penunjuk perasaan berarak di jalan raya menuntut bekas Perdana Menteri
Thailand, Yingluck Shinawatra meletak jawatan. Tiada lagi anggota
tentera lengkap bersenjata berkawal di setiap pelosok kota raya itu.
Bangunan
kerajaan yang sebelum ini terpaksa ditutup akibat diduduki kumpulan
penunjuk perasaan yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri, Suthep
Thaugsuban kini beroperasi seperti biasa.
Bangunan Kementerian Hal
Ehwal Luar Thailand yang kami kunjungi beroperasi seperti biasa selepas
terpaksa ditinggalkan oleh pegawai dan kakitangannya berikutan
kepungan kumpulan penunjuk perasaan.
Lalu lintas lancar
Kawasan
tumpuan penunjuk perasaan di tengah kota raya seperti 'Victory
Memorial' dan 'Democracy Monument' serta 'Maboon Krong Center' tidak
lagi sesak dengan puluhan ribu penunjuk perasaan. Yang ada ialah lalu
lintas di kawasan berkenaan bergerak lancar berbanding disekat oleh
kumpulan terbabit sebelum ini.
Keadaan itu memberi gambaran jelas bahawa kota raya Bangkok sekarang tidak lagi mengalami kacau bilau.
Segala kesukaran untuk meneruskan kehidupan yang membelenggu
masyarakat di kota raya itu sudah terlerai apabila anggota tentera di
bawah Ketua Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chanocha
melakukan rampasan kuasa pada 22 Mei lalu dengan alasan untuk
mengembalikan ketenteraman awam, selepas negara itu menghadapi kebuntuan
politik selama enam bulan.
Sejak November lalu, penunjuk
perasaan berhimpun di jalan raya bagi memaksa Yingluck meletak jawatan
kerana mendakwa wanita terbabit menjadi proksi abangnya, Thaksin
Shinawatra, iaitu bekas Perdana Menteri yang digulingkan dalam rampasan
kuasa tentera pada tahun 2006. Thaksin kini hidup dalam buangan bagi
mengelak hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
Rampasan
kuasa itu adalah yang ke-12 sejak pemerintahan beraja mutlak berakhir
pada Jun 1932. Ketika itu Raja Prajadhipok bersetuju menerima polisi
Raja Berperlembagaan berikutan rampasan kuasa oleh Jeneral Phrayol
Phahol Pholphayuhasena yang dibantu parti politik pertama Thailand,
Khana Ratsadon.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Kementerian
Hal Ehwal Luar Thailand yang juga jurucakap kementerian itu, Sek
Hannamethee yang ditemui di kementerian berkenaan menjelaskan,
kehidupan anggota masyarakat Bangkok kembali seperti biasa sejak
tentera mengambil alih pentadbiran negara itu.
"Sejak Mei
lalu, masyarakat di sini (Bangkok) kembali hidup seperti biasa. Ia
berbeza ketika kota raya ini dipenuhi dengan puluhan ribu penunjuk
perasaan hingga menyebabkan kegiatan ekonomi tidak dapat dijalankan
dengan sempurna.
"Tiada pertumpahan darah berlaku ketika
tentera mengambil alih kuasa. Segalanya berjalan dengan tenang. Selepas
pelantikan Perdana Menteri yang baharu, Majlis Pembaharuan Kebangsaan
(NRC) akan ditubuhkan dengan dianggotai oleh 250 ahli majlis.
"Majlis itu akan merangka pembaharuan dalam Perlembagaan Thailand dan
pilihan raya umum akan diadakan pada Oktober 2015," katanya.
Perdana Menteri Thailand Ke-29
Prayuth yang dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri Thailand
ke-29 pada 25 Ogos lalu akan membentuk Kabinet secepat mungkin
menjelang hujung bulan ini. Beliau dilantik selepas menerima perkenan
Raja Bhumibol Adulyadej.
Prayuth yang turut memikul tugas
sebagai ketua Majlis Keamanan dan Ketenteraman Kebangsaan (NCPO)
berikrar untuk bekerja keras dalam isu ekonomi dan sosial, sistem
perundangan dan semua isu dalam usaha mempersiapkan negara itu untuk
menerima perubahan yang membawa kemakmuran.
Beliau turut
mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada Oktober 2015 selepas
beliau melaksanakan langkah menangani pelbagai masalah negara
berkenaan.
NRC mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat
Thailand. Ia terbukti apabila sekurang-kurangnya 7,000 orang mendaftar
untuk menyertainya. NRC akan memberi tumpuan kepada 11 bidang
pembaharuan, selain dijangka meluluskan Perlembagaan baharu pada tahun
2015.
Majlis yang bakal ditubuhkan pada bulan depan itu
bertanggungjawab menggubal reformasi politik dan ekonomi, termasuk
membentuk semula dasar tenaga, pendidikan, kesihatan awam, media dan
seumpamanya.
Prayuth memberi peluang kepada segenap anggota
masyarakat untuk menyertai NRC. Pemilihan terbuka itu membabitkan semua
lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.
Sek
juga menjelaskan, ekonomi Thailand tidak lumpuh sepenuhnya dengan
pergolakan politik itu. Kini, pelbagai usaha dilaksanakan bagi
merancakkan semula ekonomi Thailand yang sumber utama pendapatannya
adalah daripada industri pelancongan.
"Kami dalam proses untuk
memperkukuh semula demokrasi. Selain itu, kami juga berusaha meneguhkan
semula keyakinan pelabur asing untuk mengekalkan perniagaan mereka di
sini," katanya.
Mengenai hubungan dua hala dengan Malaysia, Sek
menjelaskan, Thailand amat menghargai keharmonian hubungan diplomatik
dengan jirannya. Kemakmuran ekonomi dan politik Malaysia amat penting
untuk membantu kestabilan politik negara berkenaan.
"Malaysia
antara rakan perdagangan terbesar Thailand. Kami sentiasa berusaha
memelihara hubungan baik dengan Malaysia. Kemakmuran ekonomi negara
jiran amat penting untuk menjamin kemakmuran kami. Begitu juga
sebaliknya." jelasnya.
Keadaan Bangkok yang kembali tenang
turut dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Tetap kementerian itu, Narong
Sasithorn dengan menekankan bahawa pilihan raya umum Thailand akan
diadakan selewat-lewatnya pada Oktober 2015 bagi mengembalikan kuasa
pentadbiran negara kepada masyarakat awam.
"Ketika kumpulan
penunjuk perasaan menguasai Bangkok, mereka mengepung bangunan
kementerian ini. Mereka meminta kami mengosongkan bangunan. Kami
terpaksa beroperasi di sebuah hotel kerana hubungan luar dengan negara
asing tidak boleh dihentikan.
"Selepas pemimpin tentera,
Jeneral Prayuth dilantik menjadi Perdana Menteri, negara kami sekarang
merangka Perlembagaan baharu dalam tempoh 10 bulan menjelang pilihan
raya umum akan datang," katanya.
Beliau menjelaskan berikutan
keadaan politik semakin buruk mulai Februari lalu, kebanyakan pelabur
asing menyatakan kebimbangan mereka untuk terus menanam modal di negara
itu, sekali gus menyebabkan ekonomi terjejas.
Ekonomi Thailand diramal berkembang 3.5 peratus
Rampasan kuasa tentera menyebabkan ekonomi Thailand diramalkan
berkembang hanya pada kadar 3.5 peratus tahun ini, tetapi dijangka
kembali mencatatkan pertumbuhan antara lima hingga enam peratus tahun
depan.
Bagaimanapun, keadaan sekarang bertambah stabil kerana
pentadbiran junta tentera tidak mengganggu kegiatan ekonomi sektor
swasta dan kerajaan, sebaliknya menyeru semua pihak supaya beroperasi
seperti biasa sementara junta berusaha mengekalkan keamanan dan
keharmonian negara.
"Peristiwa pada 22 Mei lalu (rampasan kuasa
tentera) adalah untuk mengembalikan kestabilan politik selepas pihak
yang bertelagah gagal menyelesaikan masalah mereka.
"Kami
yakin keadaan bertambah baik selepas ini. Walaupun kerajaan sekarang
bukan dikuasai masyarakat awam, ekonomi negara terus mencatatkan tanda
positif untuk pulih," katanya.
Berdasarkan tindakan tentera
Thailand di bawah pimpinan Prayuth mengambil alih pentadbiran negara
itu secara 'lembut,' kebanyakan rakyatnya menaruh harapan keamanan dan
keharmonian bukan setakat mampu dikekalkan, malah membawa negara
berkenaan ke arah demokrasi yang lebih baik melalui pembaharuan dalam
Perlembagaan.
Dengan memberi tempoh sehingga Oktober 2015,
Thailand di bawah kepemimpinan Prayuth diyakini terus stabil dari aspek
politik, tetapi kemajuan dari aspek ekonomi tidak akan pulih dalam
sekelip mata. Sebaliknya, ia memerlukan masa untuk negara itu untuk
kembali mencatatkan pertumbuhan lebih positif.
Dengan penduduk
67.3 juta, rakyat Thailand amat berharap Prayuth mampu membawa
kestabilan politik dan ekonomi selepas pergolakan politik sejak lapan
tahun lalu menyaksikan Perdana Menteri negara itu silih berganti yang
akhirnya terpaksa diselesaikan melalui campur tangan tentera.
Sehubungan itu, meskipun dari satu aspek rampasan kuasa tentera
disifatkan sebagai mencacatkan demokrasi, ia juga menyediakan peluang
untuk rakyat Thailand membina semula demokrasi melalui ruang yang lebih
luas dan tersusun melalui pilihan raya umum menjelang Oktober tahun
depan.-Berita Haria
Demokrasi Thailand semakin matang
Written By Editor Bebas on Friday, 3 October 2014 | 23:14
Labels:
Global
Post a Comment