Headlines News :
Home » » Belanjawan 2015 dan cabaran rakyat

Belanjawan 2015 dan cabaran rakyat

Written By Editor Bebas on Friday, 3 October 2014 | 22:55

Oleh MUHAMMAD FAIZAL ZAKARIA 


SEBUAH kerajaan yang memerintah sudah pasti akan menjanjikan se suatu yang terbaik dalam mengharapkan pujian rakyat setiap kali tibanya penghujung tahun.Begitu juga rakyat yang akan menunggu di hadapan televisyen atau mendengarnya melalui radio tentang apa yang mereka akan perolehi hasil dari memilih sebuah kerajaan.

Pelbagai pihak sudah pasti mempunyai sudut pandang berbeza, memuji, mengkritik ataupun mencemuh tetapi persoalan yang paling menarik adakah Belanjawan 2015 ini menjanjikan emas untuk rakyat.

Ini persoalan yang menarik diketengahkan dalam membentuk sebuah bajet yang benar-benar memenuhi hasrat dan kehendak rakyat di bawah, dalam keadaan mereka mengharapkan keperihatian dari kerajaan yang me reka pilih.

Hampir setahun berlalu perbentangan Bajet 2014 dan rakyat sekali lagi berpeluang untuk mendengar pengumuman dari Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak pada 10 Oktober nanti pada perbentangan Bajet 2015.

Semakin hampir untuk mereka mengharapkan apa yang diharapkan, semakin banyak persoalan yang timbul adakah kebajikan diperkasakan, soal subsidi dikembalikan atau hanya sekadar merasai ‘anginangin syurga’ hanya sedap telinga mendengar.

Peruntukan yang diberikan pada bajet lalu dengan peningkatan kira-kira RM31 bilion berbanding bajet 2013 iaitu sebanyak RM232.8 bilion dengan RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan berserta tema “Memperteguhkan ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksanakan Janji” ia sudah pasti suatu yang mengembirakan rakyat.

Melalui lima teras utama yang diperuntukan pada 2014 dengan Merancak Aktiviti Ekonomi, Mengukuh Pengurusan Fiskal, Mengunggul Modal Insan, Mempergiat Pembangunan Bandar & Luar Bandar dan Mensejahtera Kehidupan Rakyat, ia dilihat satu bajet yang baik dalam menjadikan rakyat serta negara ini sebuah kehidupan dan pembangunan yang sempurna.

Persoalan sempurnakah bajet yang sedang kita lalui ini, sudah pasti kesempurnaan itu tidak direalisasikan sepenuhnya, rakyat tidak menikmati sepenuhnya apa yang diterapkan pada teras kelima ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat.’

Diibaratkan seperti memberi melalui pintu hadapan tetapi dirompak melalui pintu belakang, rakyat diberi habuan yang tidak menjanjikan kemewahan namun kerajaan mengambil balik melalui kaedah yang dihalalkan.

GST atau Cukai Barang dan Perkhidmatan tetap menjadi fokus utama dan perlu mendapat perhatian rakyat, 1 April 2015 sepertimana dibentangkan sebelum ini pada kadar enam peratus akan dihadapi oleh rakyat, hendak atau tidak ia terpaksa dihadapi kerana itu hasil dari undi yang mereka lakukan.

Dalam keadaan rakyat yang sedang berdepan dengan ekonomi negara yang tidak seimbang serta kenaikkan harga barang akibat dari penarikan subsidi, pelaksanaan GST secara menyeluruh pada April tahun hadapan akan memberi bebanan baru kepada rakyat yang berpendapatan rendah.

Alasan hanya enam peratus kadar cukai dikenakan itu bukan satu yang boleh meredakan bebanan rakyat, kalau sebelum ini cukai hanya dikenakan kepada golongan tertentu serta sesetengah barangan sahaja, namun kali ini tidak ada seorang rakyat pun akan terkecuali mereka perlu menghadapinya.

Enam peratus hanya satu barang untuk satu hari, setahun kita dapat jangkakan berapa peratus rakyat perlu berkorban, itu kalau kita bercakap pada kadar satu barang sahaja dibeli oleh rakyat dan adakah ia ber baloi dengan Bantuan Rak yat 1Malaysia (BR1M) yang bakal diumumkan kerajaan.

Tahun lalu rakyat diberi BR1M dengan kadar RM250 hingga RM650 dengan penarikan semula subsidi gula sebanyak RM35 sen, sudah pasti pada tahun hadapan kerajaan menjanjikan insentif yang tinggi pada pemberian BR1M 4.0 mengaburi pelaksanaan GST.

Jelas kerajaan tidak pernah mempunyai keikhlasan dalam soal kebajikan terhadap rakyat apabila mereka hanya memfokuskan sumber pendapatan negara hanya melalui poket-poket rakyat yang miskin.

Kerajaan dilihat lemah dalam pentadbiran apabila gagal memberi fokus dalam mencari sumber pendapat baru negara apabila hanya melihat di dalam poket rakyat sahaja sebagai sumber pendapatan utama negara.

Keberkesanaan pelaksanaan GST dalam menambah pendapatan negara dilihat gagal jika kerajaan masih tidak memberi penekanan sewajarnya mengawal ketirisan yang berlaku terutamanya membabitkan pelaksanaan projek-projek mega.

Walaupun pendapatan melalui GST meningkat, ketidak cekapan kerajaan mengurus sumber tersebut dalam mengawal ketirisan menyebabkan rakyat tidak dapat merasai apa yang mereka keluarkan melalui pembayaran cukai yang zalim ini.

Kemudahan untuk rak yat sudah pasti tidak sempurna seperti yang diharapkan dan kemungkinan besar semakin banyak projek-projek mega yang gagal disiapkan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan.

Kerajaan boleh bermegah dengan pendapatan meningkat dari mencekik rakyat melalui GST tetapi kerajaan gagal jika dalam perbentang tersebut tidak memetik bagaimana kerajaan ingin mengawal sebarang serta membendung ketirisan yang berlaku.

Jika sudah bernama rakyat sudah pasti bukan sahaja berdepan dengan GST, ketirisan ia tidak ketinggalan apabila kerajaan bertindak mengurangkan mana-mana subsidi.

Kalau dulu gula menjadi mangsa menyebabkan berlaku kenaikan barang keperluan seperti makanan dan ia tidak mungkin barangbarang keperluan lain turut ditarik balik subsidi.

Subsidi gula atau minyak pasti akan menjadi keutamaan sebagai usaha meringankan beban kerajaan untuk menanggung kos pembangunan dan pengurusan, itulah nasib yang perlu rakyat berdepan, bukan sekadar GST dan ketirisan, rakyat perlu mengalirkan air mata untuk berbelanja apabila subsidi terus dinafikan kerajaan.

Sekarang tanpa perancangan yang khusus dilakukan, bajet yang akan dibentangkan kali ini hanya sekadar diciplak pada bajet yang lepas dengan sedikit ayat-ayat pembaharuan.

Pasti tiada apa yang dapat dibanggakan melainkan mendengar rintihan rakyat yang menjadi mangsa serta gelak tawa mereka yang merasa peluang keemasan dari bajet tersebut.

Emas yang diharapkan rakyat tetapi kaca yang mereka perolehi, berdepan GST penarikan subsidi itu yang pasti ditempuhi rakyat.

Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat