Headlines News :
Home » » Secangkir kopi, sepiring politik

Secangkir kopi, sepiring politik

Written By Editor Bebas on Wednesday 5 May 2021 | 11:23


Oleh Muhaimin Sulam

 Kewujudan kedai kopi di kampung tidak sekadar memenuhi keperluan ekonomi penduduk setempat malah merupakan pusay masyarakat bersosial.

Di kedai-kedai kopi itulah berlakunya perbincangan secara santai tentang pelbagai masalah yang dihadapi penduduk kampung setiap hari.

Hampir setiap kampung mempunyai kedai kopi. Ada yang beroperasi dari pagi hingga ke malam, ada yang hanya dibuka pada waktu sarapan saja. Ada dijalankan secara sepenuh masa dan ada sekadar untuk menambah pendapatan keluarga.

Banyak keputusan politik dibuat di kedai kopi ketika bersembang sesama rakan-rakan. Keputusan politik yang asli, tepat dan ikhlas lahir dalam suasana santai.

Mesyuarat di pejabat atau markas hanya medan rasmi untuk mengabsahkan perbincangan tidak rasmi di kedai kopi. Kadangkala keputusan mesyuarat yang rasmi dirombak semula di kedai kopi.

Oleh itu, perkembangan pensejarahan kedai kopi perlu diambil kira dalam memahami politik setempat.

Lazimnya penduduk kampung akan melepak di kedai kopi sebelum pergi kerja, pada waktu petang dan lepas sembahyang Isyak dan ia boleh berlarutan hingga ke malam.

Menjadi pemimpin politik, kedai kopi adalah salah satu destinasi 'wajib hadir' dalam sesuatu kunjungan bagi mewujudkan hubungan mesra dengan orang kampung.

Pemimpin politik dan wakil rakyat biasanya akan mengunjungi banyak kedai kopi dalam satu hari.

Mesti kena ada TV

Di sesetengah tempat, kedai kopi mempunyai pendekatan bebas daripada pegangan mana-mana parti politik. Namun sebahagiannya sudah menjadi tempat kepada berkumpulnya satu-satu kelompok sahaja.

Pun begitu usaha mengesan pensejarahan kedai kopi di sesebuah kampung tidaklah mudah kerana tidak banyak yang mampu bertahan beberapa kali pilihan raya umum.

Dalam kajian politik kampung di Sungai Manik, beberapa kedai kopi terpilih saja dijadikan bahan pemerhatian kerana di kedai-kedai kopi itulah dapat dikesan kecenderungan dan pengaruh politik seseorang atau sesebuah parti.

Tahun-tahun sebelum perang, berhampiran stesen kereta api dan jeti tepi sungai terdapat kedai-kedai kopi yang membentuk sebuah pekan kecil. Kedatangan orang luar akan mudah dikenal pasti oleh orang tempatan.

Stesen kereta api seperti di Degong, Chikus, Tukang Sidin dan Sungai Kerawai adalah pekan tempat orang kampung berkumpul. Pertemuan dan program penerangan politik pula diadakan di kawasan berhampiran.

Kini tempat tersebut sudah berubah.

Semasa teknologi siaran massa diperkenalkan dalam masyarakat, kedai-kedai kopi mesti mempunyai televisyen bagi memastikan pelanggan sentiasa ada.

Ketika itu teknologi televisyen sampai ke kampung-kampung walaupun bekalan elektrik belum ada. Tuan punya kedai kopi terpaksa menggunakan generator atau bateri kereta bagi menjana elektrik dan menghidupkan televisyen.

Pada masa sama propaganda kerajaan lebih kuat dibangunkan di kampung berbanding prasarana yang berjalan macam siput. Rakyat misalnya didendangkan dengan lagu Hindi yang mengasyikkan dan penderitaan hidup pun tenggelamlah dalam khayalan masing-masing.

Biasanya pada hari minggu dan waktu siaran cerita Melayu, Hindi dan gusti, kedai kopi akan penuh. Orang kampung akan berbondong-bondong sama ada dengan berbasikal atau berjalan menuju ke kedai yang mempunyai televisyen.

Kini keadaan tidak banyak berbeza. Kedai-kedai kopi kampung masih 'wajib' memiliki televisyen yang menyiarkan rancangan sama ada Astro atau Neflix.

Diusahakan tiga generasi

Dari satu rancangan ke satu rancangan, pencandu kedai kopi akan setia di situ membincangkan seribu satu masalah. Termasuk masalah negara.

Berdekatan dengan surau simpang tiga Sungai Manik yang merangkap Markas PAS Sungai Manik juga ada kedai kopi. Kedai kopi Kak Leha memang terkenal kerana kepelbagaian kuih-muihnya.

Kedai Kak Leha mula dibuka sejak pagi lagi hingga ke petang. Ia menjadi tempat berkumpulnya penduduk berhampiran simpang tiga itu. Oleh kerana di situ hanya kedai Kak Leha saja yang ada, ramailah berkumpul di situ.

Biasanya mereka bersarapan di situ sebelum turun ke bendang atau kebun.

Di Parit 3B yang tidak jauh dari situ pula ada kedai kopi Man Bilal. Dia mendirikan warung kecil di hadapan rumahnya. Kedai yang beroperasi sejak awal 2000 itu diusahakan bagi menambahkan pendapatan.

Tidak jauh dari situ ada kedai kopi Narihan yang lebih lama beroperasi. Sudah tiga generasi keluarganya mengusahakan kedai kopi tersebut. Di ruang hadapan kedai pernah diadakan ceramah politik kecil-kecilan. Namun yang lebih berkesan dalam politik adalah bersembang.

Dari agenda menukar kepimpinan negara sehinggalah menukar pemimpin parti sendiri ia ada dibincangkan di kedai kopi secara terbuka dan telus.

Kedai Mat Ayam ataupun Tom Yam Bollywood di Simpang Empat Balai Polis Chenderong Balai pula menjadi tempat tumpuan sesetengah penduduk kampung setempat.

Walaupun Mat Ayam penyokong PKR, kedainya tetap dikunjungi oleh semua orang. Selain kedai kopi itu di Simpang Empat Balai Polis memang terdapat banyak kedai makan. Masing-masing mempunyai pelanggan sendiri.

Kedai makan Mokhtar di pekan Chenderong Balai sudah berpuluh-puluh tahun beroperasi. Ahli politik kerap makan bersama-sama dengan rakan-rakan mereka di situ. Kedainya menjual roti canai di samping menu lain.

Tempat selesaikan masalah

Bersebelahannya pula ialah rumah bekas setiausaha PAS Pasir Salak, Zuki Yusuf, dan sebelahnya pula bekas kedai runcit milik Puzi Harun, bekas Setiausaha Pemuda PAS Pasir Salak.

Oleh itu, kedai makan Mokhtar sangat strategik untuk pimpinan PAS bertemu dengan. Bagaimanapun kedai Mokhtar tetap dikunjungi pelbagai pelanggan. Ini menjadikan ia sebagai satu tempat yang agak selesa.

Bekas Adun Sungai Manik, Yusuf Maidin, membina pengaruh antaranya melalui kedai kopi miliknya. Itulah pejabat tidak rasmi Yusuf. Di situlah dia bertemu dengan orang ramai tanpa sebarang jurang. 

Selepas bersara daripada tentera, dia membuka kedai kopi di pekan Chenderong Balai. Pada masa sama, Yusuf dilantik sebagai ketua kampung Chenderong Balai.

Keadaan itu menjadikan kedai kopinya sebagai tempat dia menyelesaikan masalah dan berinteraksi dengan penduduk tempatan.

Di pekan Langkap pula kedai mamak sering menjadi tempat tumpuan pimpinan politik bertemu penyokong. Di Chui Chak yang terletak bersebelahan Langkap, sebuah kedai kopi berdekatan dengan pejabat PKR sering dijadikan tempat bertemu dan berceramah politik.

Orang Cina biasanya akan memenuhi kedai-kedai tersebut hampir setiap masa - dari pagi, petang hingga ke tengah malam. 

Sama seperti kedai kopi kampung lain, ia adalah 'parlimen' untuk orang biasa menyuarakan pandangan dan meluahkan pandangan sesama sendiri sambil melayan mahjung.

Oleh kerana sebahagian besar kaum Cina di Chui Chak tidak begitu fasih dalam bahasa Melayu, sembang politik tidaklah rancak jika ia melibatkan orang Melayu. 

Sesi berada di kedai kopi hanyalah lebih bersifat mewujudkan keserasian dalam hubungan antara pimpinan parti dengan penduduk tempatan.

Perbincangan di kedai kopi lebih telus berbanding perbincangan di markas yang lebih formal. Orang kampung lebih senang berinteraksi tanpa protokol dan peraturan seperti dalam mesyuarat.

Kadangkala mereka tidak pandai bercakap di hadapan orang ramai tetapi tiada masalah untuk bercakap di kedai kopi.

Jika melibatkan perbincangan serius dan rahsia, kedai kopi di pekan Teluk Intan akan menjadi pilihan. Jika sangat serius dan penting, buat di Kuala Lumpur atau mungkin juga ke Jakarta atau London. Tetapi itu tentunya bukan orang kampung.

Oleh sebab itu, sebelum atau selepas mesyuarat di pejabat parti, akan ada mesyuarat yang lebih merincikan keputusan-keputusan semasa mesyuarat di pejabat. 

Bahkan kadangkala ia lebih kemas dan menarik. Hal-hal itu biasanya berlaku di kedai kopi.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.

Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat