Headlines News :
Home » » Agar tidak dibenci orang

Agar tidak dibenci orang

Written By Editor Bebas on Wednesday 5 May 2021 | 11:26

 


Sejak enam bulan yang lalu, sudah dua kali kami disaman kerajaan. Kedua-keduanya adalah kesalahan nyata yang kami lakukan.

Pertama adalah kerana merokok di kawasan awam, dan yang keduanya kerana memasang nombor plat yang tidak mengikut peraturan pada kereta Kancil turbo kuning kebanggaan kami.

Tidak ada sebarang kekesalan atas saman kedua-dua kesalahan tersebut kerana kami memang melakukanya dalam keadaan sedar.

Yang menjadi kekesalan ialah betapa setiap kali ditahan untuk disaman, tidak berlaku kemesraan di antara kami dan pegawai yang menyaman.

Semuanya berlangsung dalam suasana yang keras, tegang dan autoritas. Kami selalu bertanya kepada diri sendiri akan ke mana hilangnya kelakar umat hari ini.

Bila agaknya tarikh tepat kita semua menjadi manusia yang serius dan hilang kemanusiaan.

Kamu bayangkan, sedang kami menikmati sebatang rokok setelah lama memandu; sedang kami dibuai khayalan yang menyenangkan, dan ketika hampir masuk ke alam sebalik mata, kebahagian kami sebagai seorang pencandu diragut.

Tangan kami dipegang dan tidak mahu dilepaskan seolah-olahnya jika tidak dipegang kemas, kami akan melarikan diri.

Betul kami pernah mewakili rumah sukan sekolah dalam acara lari 100 meter dengan rekod 15.3 saat, namun dengan usia sebegini dan dengan tar penuh di dada, kalau dibakar mati pun kami tidak akan bergerak ke mana-mana.

Bimbang saman berganda

Kami syak pegawai penguat kuasa berkenaan memerlukan bahan bukti - yakni rokok yang ada di tangan kami - maka beliau bertindak demikian.

Setelah reda panik dan bera kerana ditahan di tempat awam, kami pun mula menenangkan diri. Dek selamanya menyangka yang kami ini kelakar orangnya, kami pun mula berbual dengan pegawai tersebut.

Namun cubaan kami untuk menjadi kawan - walaupun disaman - tidak berjaya. Beliau masih bermasam muka dan tidak mahu berbual. Dimintanya kad pengenalan daripada kami dan beliau mula menulis.

Apabila melihat tangan beliau terketar-ketar menulis saman, kami pun bertanya: "Tangan lenguh tu banyak tulis saman ke? Ke, takut kat saya?"

Pegawai berkenaan mengecilkan mata dan bertambah marah. Lalu kami pun diam dan tidak tersenyum kerana bimbang disaman berganda.

Dimintanya kami menandatangani surat saman berkenaan dan setelah itu menghulurkan kepada kami helaian kertas itu tanpa sebarang kata-kata.

Sepatutnya beliau mengucapkan terima kasih kepada kami yang telah membenarkan tugas beliau - yakni jurusaman - menyaman. Sebaliknya kami pula yang mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Biar pun terasa sedikit bodoh, akhlak mulia yang diajar sejak kecil kepada kami membenarkan ucapan baik yang kami tuturkan itu.

Gambar hiasan

Pegawai-pegawai kerajaan yang ada kuasa mengeluarkan saman sepatutnya lebih berhemah, malah seeloknya kelakarlah sedikit. Orang yang disaman biasanya tahu akan kesalahan yang mereka lakukan dan sengaja mengambil risiko atas sebab-sebab tertentu.

Dalam kes kami, seperti mana-mana orang kaya, kami tahu kami mampu membayar denda yang dikenakan. Jadi tidaklah kami hairan apabila disaman.

Saman RM300 kerana menghisap sebatang rokok - yang dalam perkiraan kami bersamaan dengan saman RM60,000 kepada selebriti yang bernikah dan menjemput 1,000 tetamu termasuk menteri - tidak akan membekas atau menjadikan kami miskin.

Buka baju akan bergaduh

Ketika disaman kerana menggunakan nombor plat fancy untuk Kancil kuning turbo, kami cuba merayu dan cuba juga menjelaskan kepada pegawai polis berkenaan betapa sebuah kereta yang secantik itu - dengan sayap belakang warna keemasan dan rim 16 inci tayar terkeluar - tentu tidak sesuai jika menggunakan nombor plat standard.

Agak memalukan apabila ekzos gajah mengawan kami disertakan dengan nombor plat cap kerajaan. Ini tentu akan menjatuhkan imej Kelab Kancil Turbo Wilayah Tengah (Kakiturbo) yang mana kami adalah bendaharinya.

Namun setelah berkata: "Huh! Nak jadi raja ya?" Pegawai berkenaan terus mendiamkan diri dan tidak tersenyum lalu mengeluarkan saman tanpa sepatah kata.

Kata-kata "nak jadi raja" diucapkan pegawai berkenaan merujuk kepada nombor plat yang kami lilit dengan kain kuning hadiah daripada guru kami, Tuan Guru Haji Kebal Fauzi al-Oslaini. Bukan kerana kami berlagak bagai anak raja.

Kami terluka. Bukan kerana disaman, tetapi kerana kemesraan dan keramahan yang kami tawarkan dibalas dengan bentakan hanya kerana kami melanggar undang-undang nombor plat negara.

Tidak dapat kami bayangkan apa akibatnya jika kami ini dituduh bersalah membunuh orang, misalnya.

Nampaknya kita semua sudah lupa akan hal bermuamalat dengan betul.

Setiap kali tular tindakan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) memunggah gerai-gerai haram juga mendatangkan kehairanan kepada kami.

Mengapa perlu dilakukan dengan penuh kekerasan? Mengapa perlu sampai bergaduh? Pernah sekali rasanya tular pegawai PBT sampai membuka baju mengajak peniaga bergaduh.

Gambar hiasan

Lawa betul badan beliau. Dan kami syak memang itu pun sebabnya - dia nak menunjuk badan lawa. Inilah akibatnya bila kamu terlebih makan steroid.

Peniaga gerai tidak berlesen ini biasanya tahu akan kesalahan yang mereka lakukan. Mereka sudi mengambil risiko tersebut mungkin kerana di kawasan tersebut terkenal ramai pelanggan dan mereka pun memperjudikan nasib untuk mencari sedikit pendapatan.

Apa yang perlu dilakukan oleh pegawai-pegawai jurusaman itu ialah mengeluarkan saman dan balik. Izinkan peniaga terbabit menghabiskan jualan.

Kita perlu faham betapa banyaknya masa, tenaga dan wang ringgit yang dihabiskan oleh para peniaga itu. Mereka bersusah-payah bangun pagi-pagi untuk menyediakan jualan sambil berharap ia akan mendatangkan sedikit untung.

Esok jika mereka masih berniaga di tempat sama, pegawai saman cuma perlu datang lagi, senyum, dan saman lagi. Cukup tiga atau empat kali, para peniaga itu akan serik rasanya.

Memanglah akan nampak seperti banyak kerja namun kamu akan setuju jika kami katakana bahawa ini adalah cara lebih baik berbanding nak bergaduh tak tentu hala.

Ini tidak, kamu angkut kerana kamu berkuasa. Tentu saja peniaga yang dari awal pagi tadi belum berehat itu akan menjadi marah. Ditambah pula oleh hasutan "kedai Cina dia tak kacau" itu , maka berlakulah kebodohan.

Bergaduh bergasaklah kamu tidak tentu pasal. Tak pasal-pasal Cina yang baik hati itu kamu salahkan.

Yang menyaman ialah pegawai biasa yang gajinya tak sampai pun RM10,000 sebulan manakala yang disaman juga merupakan orang biasa yang perniagaan mereka bukanlah untung sampai berjuta-juta setiap tahun.

Tunggu diskaun saman

Sama-sama cari makan, sama-sama bukan kluster kayangan, maka gunakan sedikit budi bicara dalam menjalankan tugas. Kita dari kelompok yang sama, yakni kelompok berkerja.

Bukan kelompok menteri atau selebriti yang lahir istimewa bak dewa itu.

Jika seorang mak cik sedang menggoreng keropok di luar masa yang dibenarkan, maka datang kepada beliau dan cari alasan supaya kamu tidak perlu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Masukkan ke kepala otak kamu bahawa itu orang sedang menggoreng keropok yang nanti akan dijual tiga keping RM1. Lihat keliling dan congak berapa pendapatan beliau sekiranya semuanya habis dijual dan tanya diri sendiri apakah mak cik tadi mampu membayar jika disaman sampai RM50,000.

Sedikit masa yang diambil untuk bertimbang rasa tentu akan membuahkan kesejahteraan untuk semua orang. Dan yang paling penting, nanti apabila kamu sudah bersara, sudah pencen dan tidak lagi mempunyai kuasa, kamu tidak dibenci orang. Senang mahu bertaubat.

Untuk rekod, kami diberi layanan yang sangat memuaskan di pejabat kesihatan semasa membayar saman kerana menghisap rokok. Pegawai yang bertugas berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari jalan agar saman RM300 itu dapat dikurangkan .

Bermula dengan beliau sendiri berjumpa dengan pegawai atasan dan kemudian datang kepada kami dengan sekeping kertas kosong dan mengajar kami bagaimana menulis surat rayuan.

Setelah itu beliau sendiri membawa surat berkenaan kepada pegawai atasannya. Apabila pegawai tersebut bersetuju mengurangkan jumlah denda kami setelah dua kali rayuan, beliau datang kepada kami dengan wajah puas hati.

Kami hanya perlu membayar denda sebanyak RM125. Jika tidak kerana bimbang dituduh memberi rasuah, mahu saja kami beri wang RM175 lebihan daripada jumlah asal RM300 itu kepada beliau.

Sememangnya sejak awal kami sudah sediakan wang RM300 untuk saman tersebut. Saman plat kuning pula belum kami jelaskan kerana menunggu tawaran potongan 50 peratus oleh pihak berkuasa.

Apabila difikir-fikir lagi, jarang sebenarnya ada negara yang berniaga dengan rakyat sendiri. 


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pemandu aksi lasak Kancil.

Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat