Headlines News :
Home » » K-Pop: Teguran atau pengaiban

K-Pop: Teguran atau pengaiban

Written By Unknown on Wednesday 14 January 2015 | 12:19

Oleh Nor Nazarima Mohd Nasir

Sedih dan kasihan. Ini merupakan perasaan yang tidak dapat saya elakkan, apabila berbicara mengenai perkara yang sedang hangat diperkatakan rakyat Malaysia, berikutan tersebarnya satu video pendek dalam sebuah konsert K-Pop di Malaysia baru-baru ini.

Saya tidak menafikan kekhilafan yang dilakukan gadis-gadis di atas pentas tersebut - barangkali atas keterujaan melihat idola di depan mata. Besar harapan saya, agar mereka dapat mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan menjauhi sikap fanatik melampau terhadap sesuatu perkara atau seseorang. Ia mampu membuatkan kita hilang pertimbangan. Saya juga berdoa agar mereka tabah menghadapi akibat kejadian ini.

Namun yang lebih membimbangkan saya adalah reaksi masyarakat kita terhadap perkara ini. Mereka dicerca dengan begitu dahsyat atas kesilapan tersebut. Bahkan tajuk video yang diviralkan juga lebih bersifat provokatif; seolah-olah sengaja mahu merendah-rendahkan dan menghina, bukan ke arah menegur dan membaiki secara berhikmah.

Tambahan pula, komen makian dan cacian tersebut datang daripada mereka yang yakin mereka sedang mempertahankan kesucian Islam. Perkara ini pada pandangan saya, sangat bertentangan dengan adab dan nilai islam itu sendiri dan tidak sepatutnya kita mempunyai rasa "Saya lebih baik daripada anda". Firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 125:"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara lebih baik", jelas menunjukkan prinsip yang perlu kita pegang apabila mengajak dan menegur manusia kearah kebaikan.
Sensitiviti masyarakat kita dalam membaiki umat, perlulah dipandu dan dilorongkan agar usaha  pembaikan itu dapat dilakukan selari dengan kefahaman, dan bukannya pula atas dasar takut untuk dimalukan. Usaha menerapkan kefahaman yang pastinya memakan masa ini bermula dengan diri sendiri, dan kita seharusnya sedar bahawa cacian tidak akan menjadi pemangkin perubahan, sebaliknya hanya akan membantutkan usaha dan niat murni tersebut.

Justeru saya menyeru agar kita bersama berusaha ke arah pembaikan diri, seperti dendangan lagu

Michael Jackson, Man in the Mirror :
I'm Starting With The Man In
The Mirror
I'm Asking Him To Change
His Ways
And No Message Could Have
Been Any Clearer
If You Wanna Make The World
A Better Place
Take A Look At Yourself, And
Then Make A Change

Masyarakat hendaklah sedar dan tidak terus dilalaikan dengan budaya hiburan melampau, khususnya bagi muslim. Selain itu, bagi mengelakkan kejadian ini berulang lagi, saya menyeru agar para penganjur lebih sensitif dengan penganjuran dan perjalanan tentatif program mereka.

Semoga kita dapat bersama terus membaiki masyarakat Malaysia, dan negara Malaysia dapat terus menuju ke arah negara rahmah. –

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/k-pop-teguran-atau-pengaiban-nor-nazarima-mohd-nasir#sthash.vv2jeY9C.dpuf
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat