Headlines News :
Home » » Banjir dan lubang...

Banjir dan lubang...

Written By Unknown on Wednesday 14 January 2015 | 00:12

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT 


BEBERAPA bulan dulu Mufti Ismail Menk, pendakwah dan Ketua Jabatan Fatwa Majlis Sarjana Islam Zimbabwe (Majlisul Ulama Zimbabwe) menyebut sebuah hadis pada 'wall' Facebook saya, secara 'literal' boleh diterjemahkan sebagai ‘jangan jatuh ke dalam lubang yang sama lebih daripada sekali…”

Justeru maksudnya kita sebagai manusia dan lebih-lebih lagi sebagai umat Islam diperingatkan supaya tidak membuat kesilapan serupa lebih daripada sekali. Jika diertikan sebagai antara undang-undang Islam, maka maksudnya kita diwajibkan mengambil iktibar dan pengajaran daripada kesilapan masa lalu dan berdosa sekiranya membiarkan ia berlaku sekali lagi apatah lagi berulang-ulang.

Apa yang dimaksudkan kesilapan di sini bukanlah kesilapan mendarab 23 dengan 24, atau kesilapan memasukkan kata laluan bagi e-mel peribadi dan sebagainya. Sebagai seorang bervisi menjangkau zaman, Nabi Muhammad s.a.w. memaksudkan jauh daripada sekadar kesilapan seperti itu.

Misalnya sekiranya sesebuah negara mudah ditimpa sesuatu masalah bencana alam, maka perlulah dilakukan sesuatu atau diatasi apa juga masalah yang mengakibatkan berlakunya bencana alam tersebut dan bukannya dibiar berulang tahun demi tahun sehingga dunia kiamat.

Sebagai contoh ambil sahaja negara kita, Malaysia. Dari segi geografi fizikal separuh daripada keluasan tanah Semenanjung mempunyai purata ketinggian melebihi 150 meter di atas paras laut dan boleh dikatakan tidak ada mana-mana kawasan baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak yang mengalami ketinggian di bawah paras laut.

Angin bermusim Monsun Timur Laut sudah bertiup di Malaysia sejak sebelum era Perak Man lagi (dikatakan di antara 10,000 hingga dua juta tahun dulu) dan begitu juga banjir di pantai Timur Semenanjung terutama di tempat yang kini kita kenali sebagai Kelantan dan Terengganu.

Tentulah bodoh bagi sesiapa untuk melawan keadaan semula jadi. Namun kita boleh mencipta sistem amaran awal sebagaimana yang dilakukan oleh Gerald Bradley, Ketua Pentadbir Inggeris bagi daerah Kuala Krai (1927-1955).

Bagi mengetahui kedudukan paras air ketika musim hujan monsun, Bradley telah mengarahkan pembinaan 79 anak tangga dengan jumlah ketinggian 31 meter pada sebuah lokasi di tebing Sungai Krai pada 1927. Tangga ini dinamakan Tangga Bradley (kini Tangga Kuala Krai) dan pernah digunakan sebagai sistem amaran awal bagi membuat keputusan mengenai ancaman banjir di Kelantan.

Hari ini tangga berkenaan tidak lagi digunakan untuk tujuan tersebut. Peredaran zaman, kemajuan sains dan teknologi membolehkan kita memiliki sistem kaji cuaca canggih dan meramalkan dengan agak tepat kekuatan angin monsun yang bakal bertiup bagi sesuatu musim serta keadaan banjir yang bakal berlaku.

Namun pengkaji cuaca hanya boleh memberitahu apa yang bakal berlaku dan tidak mampu mengawal baik angin mahupun banjir. Malah tidak sesiapapun yang boleh. Begitupun kita masih boleh melakukan dan tidak melakukan banyak perkara bagi mengelakkan keadaan semula jadi alam (yang kita ketahui berlaku setiap tahun) daripada menjadi bencana dan tragedi yang seolah-olah kita tidak tahu kedatangannya sama sekali.

Pada Januari 2014 lalu seramai 19 orang ahli sains dari universiti dan IPT berprestij di dunia, termasuk pakar kaji cuaca terkemuka dunia, Profesor Nigel Arnell dari Reading University dan Robert Muir-Wood perunding kaji cuaca yang menjadi penasihat kepada PBB dan OECD telah bermesyuarat dan merumuskan; “Cuaca (perubahan cuaca) BUKAN punca utama banjir. Sebaliknya pembinaan (bangunan, rumah dan sebagainya) di atas dataran serta penebangan hutan dan pokok adalah antara punca paling utama.” (The Daily Mail, menerusi Mail Online edisi 22 Januari 2014)

Sebenarnya rumusan ini bukanlah penemuan baru tetapi sekadar mengesahkan apa yang telah diperkatakan oleh para saintis di seluruh dunia mengenai banjir luar biasa yang melanda pelbagai tempat di seluruh dunia sejak sedekad lalu.

Maknanya kita di Malaysia sudah pun maklum akan hal ini. Ditambah pula dengan pemimpin kerajaan Umno-BN yang sentiasa berdegar mengatakan Malaysia serba pandai itu dan ini dan menjadi contoh kepada negara lain termasuk negara maju, tentulah tidak mungkin kita tidak mengetahui pembangunan, penebangan hutan, pembalakan, pembinaan empangan yang dilakukan di lokasi lain boleh mengakibatkan banjir di lokasi lain akibat pergerakan tanah dan sebagainya.

Namun, kita tidak pernah mahu mengambil iktibar dan memperbetulkan hal ini walaupun banjir berskala besar berlaku saban tahun. Dalam lain perkataan pemimpin Umno-BN dengan sengaja memperlekehkan dan mengabaikan hadis berkenaan. Jika tak kisah dengan dosa, itu mereka punya pasal. Tapi yang merana dan sengsara adalah rakyat yang tidak berdosa,
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat