Headlines News :
Home » » Menodai datuk

Menodai datuk

Written By Editor Bebas on Wednesday 5 May 2021 | 11:21


Oleh Mohd Mizan Aslam

 Negara dikejutkan dengan banyaknya kejadian tangkapan berkaitan jenayah.

Syabas kepada pihak PDRM, SPRM, imigresen, kastam, Aksem dan lain-lain agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang bertungkus lumus melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Jenayah merentasi disiplin termasuklah perjudian, pengubahan wang haram (Amla), pelacuran, dadah, penyeludupan, penipuan atas talian (scam), bunuh, rogol, rasuah dan dokumen palsu.

Setiap tangkapan yang dilakukan ini membawa kepada nilai rampasan dalam bentuk aset dan wang ringgit hingga ratusan juta.

Apa yang menariknya kebanykkan mereka yang terlibat dengan aktiviti jenayah ini mempunyai gelar berupa Tan Sri, Datuk/Datuk Seri dan Datuk/Datuk.

Tak payah sebutlah pingat kecil-kecil yang mereka tak pandang pun.

Yang menjadi sasaran mereka adalah gelaran ‘datukship’ ini yang sepertinya mempunyai kekebalan, imuniti ala-ala cerita survival.

Diringkaskan cerita, panggilan kepada penyamun ini yang bergelar ini, cukup sebagai Datuk sajalah.

Mereka kenal dari undang-undang, mempunyai daulat melakukan jenayah tanpa disentuh dan disanjung ramai termasuk kartel dalam agensi penguatkuasaan sebagaimana yang didedahkan ketua polis negara sebalum ini.

Dengan daulat yang mereka miliki ini, maka segelintir kecil menerima laba dan sejumlah besar pula menanggung derita. Ditipu, ditindas, dihina, dimaki, sebagaimana bodyguard tempoh hari.

Malah yang lebih menyedihkan apabila ramai orang miskin dan kurang terpelajar yang menjadi mangsa ketagihan dadah, menghancurkan masa depan mereka dan produktiviti negara amnya.

Satu kelompok lagi menangisi kehilangan wang ringgit, simpanan hari tua dan lain-lain lagi akibat penipuan oleh golongan scammers ini.

Persoalannya dimanakah daulatnya gelaran datuk ini? Bagaimanakah terlalu mudahnya kelompok penjenayah ini memiliki gelaran datuk? Apa muslihat yang mereka miliki, siapa broker dan magic apakah yang dimainkan mereka?

Banyak laluan

Gelaran datuk sudah hilang daulatnya, senang dimiliki oleh kelompok yang mempunyai wang ringgit terutamanya penjenayah.

Golongan yang berbakti kepada negara terkadang dinafikan hak mereka kepada gelaran tersebut, akan tetapi bagi golongan penjenayah ini mereka bebas memilikinya tanpa sekatan.

Banyak laluan memiliki gelaran tersebut. Malah seperti satu kemestian, jika kejahatan mereka sudah sampai ke kemuncaknya, maka tahap tertinggi yang diperlukan adalah gelaran Datuk ini.

Maka lengkaplah sudah episod kejahatan mereka di muka bumi ini.

Sudah sampai masa istana menyatakan dengan jelas kod etika dan kedaulatan datukship ini.

Walaupun tersurat dan tersirat sudah jelas bahawa setiap yang dianugerahkan gelaran tersebut harus mematuhi kod etika tertentu, tidak boleh manjatuhkan aib dan daulat gelar kurniaan duli-duli tuanku, akan tetapi akhirnya malaun ini hanya bersikap acuh tak acuh.

Sudah sampai masanya pematuhan yang jelas kepada kedaulatan datuk ini, apabila anda terkait sahaja (walaupun bukan tersabit), tetapi ia sudah cukup untuk si penerimanya ditarik kelayakan tersebut.

Walaupun bunyinya agak keras dan ada yang tak bersetuju atas prinsip presumption of innocent, akan tetapi inilah jalannya untuk mendaulatkan datuk.

Siapa sahaja terkena, secara automatisnya gelaran itu digantung hinggalah proven not guilty. Maka barulah ada akal, bukan hanya dapat Datuk dan suka hati nak buat apa pun.

Tetapi bila dapat Datuk maka sebaliknya mereka harus insaf dan mendaulatkannya di kedudukan yang paling tinggi. Gelar Datuk bukan lagi mudah diinjak, tetapi dijulang umpama tanjak.

Sudah terjadi, penjenayah mula berselindung di sebalik ahli politik, penguat kuasa mahupun NGO.

Tidak mustahil pada masa yang akan datang, penjenayah pula merupakan wakil rakyat ‘YB”, penjenayah juga adalah ‘Pak Aji’ dan penjenayah juga adalah ‘ustaz/father/sami’ dan sebagainya.

Jika hari ini mereka mendanai, pada masa depan mereka adalah sebahagian dari sistem tersebut sebagaimana yang berlaku di India, Itali dan Jepun.

Daulat kejahatan mereka menyebar umpama sotong kurita, menakluki semua ruang yang dimiliki hingga tidak dapat dipisahkan yang mana hak dan yang mana batil.

Angkatlah daulatnya datuk

Angkatlah daulatnya datuk. Golongan yang bersusah payah mendapatkan gelar datuk ini akan mendaulatkannya dan menjadi dinding dari jenayah.

Golongan ini sanggup mati kerana mendaulatkan datuk kerana ia adalah kurniaan duli tuanku.

Sebagai rakyat marhaen, kami tahu ‘nilai’ atas setiap kurniaan duli tuanku.

Manakala golongan yang mendapatkan datuk dengan curang, mereka inilah yang akan menodai kedaulatan datuk, tiada harga dan nilai pengkhianat dan penjenayah ini.

Ingatlah “perkara yang susah dapat, payah hilangnya, tetapi yang senang dapat, cepat sirnanya”.


MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik.

 

Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat