SIAPA yang tidak mahu gaji dan elaun dinaikkan? Semua orang mahu! Jadi, apabila tersebarnya
khabar angin mengenai kenaikan gaji dan elaun penjawat awam, nescaya
penjawat awam tersenyum gembira mengharapkan khabar angin ini
benar-benar menjadi berlaku. Dikatakan gaji penjawat awam bagi kumpulan
sokongan dinaikkan sebanyak RM500 dan RM1,000 untuk golongan pegawai.
Khabar angin ini dinafikan sama sekali oleh Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) dalam media massa.
Sebagai ahli akademik dalam bidang
perakaunan dan juga kewangan, saya telah membuat pengiraan kasar
berapakah jumlah wang yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada penjawat
awam bagi merealisasikan kenaikan gaji dan elaun ini. Ambil sahaja
jumlah RM500 dinaikkan untuk semua kakitangan awam yang berjumlah 1.4
juta orang, jadi sebanyak RM700 juta sebulan pertambahan pembayaran
gaji penjawat awam. Itu untuk sebulan, kalau setahun jumlahnya RM8.4
bilion!
Jumlah ini hampir menyamai jumlah pertambahan hasil sebanyak
RM9 bilion yang bakal dikutip oleh kerajaan pada tahun kedua
pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Jumlah RM8.4 bilion
ini mengatasi RM3 bilion yang dijangka dikutip oleh kerajaan melalui
GST pada tahun 2015, iaitu tahun pertama pelaksanaan GST. Maka, selepas
membuat pengiraan itu, saya tidaklah begitu yakin dengan khabar angin
yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu sejak dari awal lagi.
Hakikatnya,
dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, kenaikan gaji dan elaun
sudah tentu membawa berita baik kepada rakyat. Pendapatan rakyat
perkara penting dalam pembentukan Malaysia sebagai negara maju
berpendapatan tinggi. Ini diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak semasa menyampai ucapan pada akhir Mesyuarat Tahunan Majlis
Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) ke-4 di New York, baru-baru
ini.
Angka makro mengenai pencapaian ekonomi negara tidak membawa
sebarang erti sekiranya rakyat tidak merasai kemajuan negara. Dalam
konteks ini, pendapatan rakyat juga perlu dipertingkatkan ke tahap
pendapatan tinggi. Tiada gunanya jumlah jutawan dan bilionair Malaysia
meningkat kalau majoriti rakyat masih di paras gaji berpendapatan
sederhana dan ke bawah. Itu bukan kebanggaan kepada rakyat.
Bajet
2015 perlu mengambil kira isu kos sara hidup dan pendapatan rakyat.
Lagi pun, menangani kos sara hidup adalah salah satu Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Apakah perancangan-perancangan
terbaharu yang akan dikemukakan oleh kerajaan melalui Bajet 2015 dalam
menangani kos sara hidup?
Adakah ia berbentuk jangka masa pendek
atau jangka masa panjang? Isu ini kompleks kerana kelemahan
penguatkuasaan membuatkan harga barangan dan perkhidmatan naik mendadak
sejak kebelakangan ini. Sekali lagi, angka makro dan ekonomi seperti
kadar inflasi yang rendah tidak meredakan keluh kesah rakyat betapa kos
sara hidup semakin menekan mereka. Rakyat bawahan tidak peduli pun
dengan angka-angka sedemikian.
Apa yang mereka pedulikan
kehidupan mereka berada dalam keadaan selesa. Lebih-lebih lagi,
kerajaan akan memperkenalkan GST bermula 1 April 2015. Memang benar
kerajaan akan menguatkuasakan akta berkaitan bagi peniaga yang
menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya atas
alasan GST.
Namun, mengikut rekod lepas, kenaikan tetap berlaku
meskipun kerajaan memberi amaran! Satu tindakan berkesan dan menyeluruh
perlu difikirkan dan dilaksanakan sebelum dan selepas GST
dilaksanakan. Usahlah selepas rakyat mengeluh mengenai kenaikan harga
barangan dan perkhidmatan, baharulah tindakan dilakukan.
Satu
lagi isu besar yang perlu ditangani oleh kerajaan bagi menjaga
kebajikan rakyat adalah berkaitan isu perumahan. Memang ada usaha-usaha
yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu perumahan, namun,
usaha ini tidaklah begitu menyeluruh dan konkrit dalam membantu rakyat
terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah
berkualiti dan harganya berpatutan. Dibimbangi, jika isu ini tidak
dapat ditangani dengan baik, akan lebih ramai lagi rakyat yang tidak
mampu memiliki rumah pada masa akan datang.
Sebab itulah, Bajet
2015 perlu juga menumpukan isu keselamatan rakyat. Itu keperluan asas
rakyat yang tidak boleh sesekali dipandang remeh. Suasana yang tidak
selamat memberi kesan kepada rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.
Ancaman keselamatan yang tidak ditangani dengan baik akan
membawa risiko yang tinggi kepada negara. Lihat sahajalah suasana
sekarang, pelbagai fitnah dan hasutan bertebaran dalam media sosial
yang menggugat kesejahteraan rakyat. Ada pula pihak sanggup menghasut
agar Sabah dan Sarawak dibawa keluar dari Malaysia. Rakyat perlu
mengambil iktibar apa yang berlaku di Scotland tempoh hari dalam
pungutan suara kemerdekaan Scotland.
Kesan ekonomi cukup parah
apabila sesebuah negeri atau negara keluar dalam satu kesatuan yang
besar. Bukan setakat Sabah dan Sarawak tetapi juga Sememanjung Malaysia
juga akan menerima padahnya. Lihat sahajalah apa yang berlaku kepada
Kesatuan Soviet selepas berpecah.
Dan lihatlah betapa kuatnya
China selepas Hong Kong kembali kepada negara itu dan Jerman selepas
Jerman Timur dan Barat bersatu dalam sebuah negara! Satu langkah yang
mundur untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia. Isu
sebegini perlu ditangani kerajaan selain isu-isu lain seperti ancaman
jenayah jalanan, berat, penyelewengan dan penyakit demam denggi yang
semakin ketara meningkat.
Penuhi kebajikan asas rakyat dalam
Bajet 2015 sebagaimana diterapkan dalam hierarki keperluan Maslow
sebelum kita bercakap mengenai pengiktirafan, rangking dan pencapaian
besar yang hanya memenuhi nafsu dan selera segelintir pihak di
Malaysia.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan (COB),Universiti Utara Malaysia.
Melebihkan tumpuan kepada kebajikan rakyat
Written By Editor Bebas on Friday, 3 October 2014 | 23:52
Labels:
Artikel
Post a Comment